#TravelDenganEV

Roadtrip Pandu EV Dari Nilai ke Alor Setar

Ditulis pada 2 August 2025

Ditulis oleh wanzaialjarman

Pada 2 August 2025

#Tags
#TravelDenganEV, EV Roadtrip, Jalan Jalan Kereta EV

#TravelDenganEV — Assalamualaikum semua, nama saya Wanzai dari Wattzai TV. Pada bulan lepas saya ada buat satu roadtrip dari Nilai ke Alor Setar menggunakan kereta elektrik saya iaitu BYD Atto 3 Ultra.

Roadtrip ini adalah atas urusan kerja ya, bukan untuk jalan-jalan. Tujuan asal perjalanan saya ini adalah ke tempat yang penting sahaja. Dan saya buat plan dimana saya perlu singgah untuk berhenti cas sambil makan. Terima kasih kepada app JomCharge yang telah mudahkan saya untuk buat perancangan sebelum perjalanan jauh.

Saya mulakan perjalanan dengan bateri 100% yang saya dah siap charge dari rumah.

Persinggahan Pertama Untuk Mengecas Kereta

Dari Nilai, saya masuk ke highway Elite melalui tollgate KLIA. Kemudian saya lalu Highway Guthrie dan terus masuk ke lebuhraya PLUS. Dengan kelajuan sederhana iaitu 100 — 120 kilometer sejam, saya pun sampai ke area Ipoh.

Selepas memandu sejauh 245 kilometer, saya turun di exit Ipoh dan berhenti di MH Hotel Ipoh. Kat sini ada DC charger yang berkelajuan 120 kW. Harga yang ditawarkan juga agak menarik bagi saya, iaitu Rm 1.30 untuk setiap kWh (disebut kiloWatt hour).

Bateri yang bermula dengan 100% tadi, sekarang dah turun ke 30%. Jadi untuk perjalanan ini, 1% bateri mampu bawa kereta saya ni sejauh 3.5 kilometer. Penggunaan bateri pula adalah sebanyak 70%.

Oh ya, DC Charger yang laju yang ada di MH Hotel Ipoh ni disediakan oleh syarikat bernama DC Handal. Walau pun charger ni berkelajuan 120 kW tapi kereta saya BYD Atto 3 Ultra tak boleh terima pun selaju tu. Kelajuan maksimum untuk mengecas kereta EV saya ni adalah 88 kW sahaja.

Saya cas dari 30% hingga 88% (berjaya naikkan 58% bateri). Dan harga yang saya bayar adalah Rm 56.42 macam yang tertera dalam resit kat bawah ni.

Resit cas kereta pertama untuk trip ini.

Saya berhenti selama 45 minit untuk mengecas. Sementara mengecas kereta, saya ambil kesempatan untuk makan di restoran fast food yang ada disebelah MH Hotel ni. Jadi 45 minit saya tidaklah dibazirkan begitu sahaja.

Setelah siap mengecas, saya pun teruskan perjalanan.

Persinggahan Kedua di Amanjaya Walk Sungai Petani

Setelah memandu sejauh 180 kilometer lagi ke arah utara, saya pun sampai di kawasan Sungai Petani. Saya memang dah plan awal untuk berhenti mengecas kereta di area Sungai Petani ni. Kenapa? Sebab ikut research saya, harga DC charger di Alor Setar semuanya mahal (pada masa itu lah).

Sampai je di Amanjaya Walk ni, bateri kereta dah turun ke 45%. Saya naikkan bateri hingga mencapai 75%. Walaupun pada masa tu peratus bateri pasti boleh sampai ke Alor Setar, saya berhenti juga di Sungai Petani.

Resit cas kereta yang kedua dalam trip ini.

Di perhentian kedua ni, saya berhenti sekejap sahaja iaitu anggaran 20 minit sahaja. Sambil saya ke tandas dan beli ayam korea di CU Mart, bateri kereta pun dah berjaya saya naikkan hingga ke 75%. Lebih dari cukup untuk saya teruskan pemanduan ke Alor Setar. Lebih kurang 60 kilometer je lagi.

Saya Sampai di Alor Setar.

Setibanya di Alor Setar, bateri kereta saya dari 75% tadi kini dah turun ke 53%. Total perjalanan saya dari Nilai ke Alor Setar adalah 479 kilometer.

Saya bermalam di Alor Setar dan akan mulakan perjalanan balik ke Nilai pada keesokan harinya.

Singgah Kali Kedua di Amanjaya Walk Sungai Petani

Dari Alor Setar, saya pandu melalui PLUS dan saya berhenti lagi sekali di Amanjaya Walk Sungai Petani. Bateri yang bermula dengan 53% di Alor Setar tadi, sekarang dah turun ke 37%. Total mileage untuk trip ni pula dah mencapai 537 kilometer.

Jarak yang dilalui anggaran 60 kilometer memakan 16% bateri. Untuk trip ini, 1% bateri berjaya bawa kereta saya sejauh 3.75 kilometer. Mileage ni lebih menarik kan! Kalau nak tahu, saya pandu laju sikit kali ini, tapi tak pasti pula kenapa bateri lebih jimat.

Sedang mengecas kereta di Amanjaya Walk, Sungai Petani.

Di Amanjaya Walk Sungai Petani ni, saya naikkan bateri hingga ke 82%. Jadi saya naikkan bateri sebanyak 45%. Harga yang saya bayar pula adalah Rm 40.69 macam dalam resit di bawah ni.

Resit cas kereta yang ketiga dalam trip ini.

Kali ini saya mengecas kereta selama anggaran 27 minit. Saya habiskan masa ini dengan jalan-jalan kat dalam Uniqlo Amanjaya Walk walaupun saya tak beli apa-apa barang.

Masuk ke Penang Sekejap

Selepas siap mengecas kereta di Amanjaya Walk Sungai Petani, saya mulakan perjalanan untuk balik ke Nilai. Tapi bila dah berada dalam perjalanan pulang, saya tergoda dengan fikiran sendiri iaitu nak singgah makan pasembur di Padang Kota Penang.

Jadi saya pun masuk ke Penang untuk singgah di Medan Renong Padang Kota.

Persinggahan Keempat di Ipoh Sekali Lagi

Dari Amanjaya Walk Sungai Petani, saya masuk ke Penang dahulu sebelum saya singgah lagi sekali di Ipoh. Sama juga, saya berhenti sekali lagi di MH Hotel Ipoh.

Bateri yang bermula sebanyak 82% tadi, kini dah tinggal 16% sahaja. Nampak macam banyak kan? Jom kita kira berapa kilometer berjaya ditempuh dengan penggunaan bateri sebanyak 66% ni.

Bateri tinggal 16% bila sampai di MH Hotel Ipoh

Di Amanjaya Walk, mileage kereta adalah 537 kilometer. Kemudian saya masuk ke Penang, keluar semula dan terus ke Ipoh, total mileage adalah 756 kilometer. Jadi total perjalanan sesi ini adalah 219 kilometer. Untuk sesi ini 1% bateri dah bawa kereta saya sejauh 3.3 kilometer.

Resit cas kereta yang keempat dalam trip ini.

Kali ini saya spend masa lebih sikit iaitu anggaran 45 minit untuk mengecas kereta. Dari bateri 16%, saya charge-up sehingga naik ke 82%. Dan harga yang saya bayar adalah Rm 59.41 untuk naikkan sebanyak 66% bateri.

Dalam 45 minit ni saya ambil kesempatan untuk singgah solat dan buat kerja di laptop sebentar. Inilah perkara yang anda kena kompromi kalau nak pakai EV.

Selamat Sampai ke Rumah di Nilai

Dari MH Hotel di Ipoh, saya teruskan perjalanan balik ke rumah saya di area Nilai, Negeri Sembilan. Dan sesi terakhir ni memakan bateri sebanyak 68% untuk jarak sejauh 245 kilometer. Jadi untuk sesi ini, 1% bateri dah bawa kereta saya sejauh 3.6 kilometer.

Sampai rumah dengan 16% bateri.

Jom Buat Kira-Kira

Ringkasan Penggunaan Bateri Kereta

Nilai — Ipoh (penggunaan 70%)
Ipoh — Sungai Petani (Penggunaan 43%)
Sungai Petani — Alor Setar (Penggunaan 22%)
Alor Setar — Sungai Petani (Penggunaan 16%)
Sungai Petani — Penang — Ipoh (Penggunaan 66%)
Ipoh — Nilai (Penggunaan 68%)

Ringkasan Harga Mengecas Bateri

MH Hotel Ipoh (Day 1) — Rm 56.42
Amanjaya Walk Sungai Petani (Day 1) — Rm 29.25
Amanjaya Walk Sungai Petani (Day 2) — Rm 40.69
MH Hotel Ipoh (Day 2) — Rm 59.41

Total jarak perjalanan adalah 1,002 kilometer. Total penggunaan bateri pula adalah 285%. Untuk trip ini, setiap 1% bateri dah berjaya bawa kereta saya sejauh 3.5 kilometer.

Total amaun yang saya spend untuk mengecas kereta pula adalah sebanyak Rm 185.77 untuk 4 kali sesi mengecas. What do you think, okay tak? Apa apa pun, good day ahead!

Baca — Kesusahan Memandu Kereta Elektrik EV Untuk Perjalanan Jauh

Ditulis oleh,

Anda sedang membaca:

Roadtrip Pandu EV Dari Nilai ke Alor Setar

Dalam kategori:

#TravelDenganEV

Ditulis pada :

2 August 2025

Leave a Reply